Friday, August 29, 2014

LOGO HARI KEBANGSAAN KE-57 2014

Merdeka 2014

RASIONAL LOGO
Jalur Gemilang yang sedang berkibar megah menjadi inspirasi kepada logo ini. Ia merupakan satu perlambangan kepada negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Angka 57 membawa maksud ulangtahun ke-57 kemerdekaan Malaysia. Sekaligus menjadi lambang kematangan negara dibawah kepimpinan yang mantap, berinovasi serta berwawasan yang boleh disaksikan menerusi pembangunan, kecermerlangan dan kemakmuran yang dikecapi secara berterusan.

Angka 57 yang diberikan sentuhan retro, menjadi refleksi kepada tarikh keramat kemerdekaan negara pada tahun 1957, mencerminkan impian dan harapan serta semangat cintakan negara yang tidak berbelah bagi rakyat terdahulu, semoga menjadi pedoman dan panduan kepada generasi Malaysia hari ini terutama golongan muda.

Kibaran Jalur Gemilang menyelimuti angka 57 turut mencerminkan kemakmuran dan keamanan negara yang telah wujud sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, berupaya dikekalkan sehingga ke saat ini dengan sokongan dan dukungan kuat oleh rakyat berbilang etnik dan kepercayaan yang bergabung menjadi satu masyarakat Malaysia yang unik dan bertoleransi.

Bulan sabit dan bintang berbucu 14 melambangkan kedaulatan negara, menjadi kewajipan setiap pemimpin dan rakyat untuk terus memelihara dan mengekalkannya.

Tema 'Malaysia.... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' diletakkan pada sudut bersesuaian dengan rekabentuk logo bagi menyokong kekuatannya dari segi imbangan, maksud dan nilai estetika.

MAKSUD WARNA LOGO

Warna Merah-Lambang keberanian dan kesetiaan pada negara yang tercinta.

Warna Biru-Lambang penyatuan dan keharmonian antara kaum.

Warna kuning- Lambang kedaulatan negara dibawah naungan Raja Berpelembagaan dan diterajui kepimpinan yang prihatin dengan pencapaian negara serta keperluan rakyat.

Warna putih-Menjadi perlambangan kepada kejujuran, ketelusan dan komitmen serta kerjasama yang erat di antara pemimpin dan rakyat.