Friday, August 29, 2014

LOGO HARI KEBANGSAAN KE-57 2014

Merdeka 2014

RASIONAL LOGO
Jalur Gemilang yang sedang berkibar megah menjadi inspirasi kepada logo ini. Ia merupakan satu perlambangan kepada negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Angka 57 membawa maksud ulangtahun ke-57 kemerdekaan Malaysia. Sekaligus menjadi lambang kematangan negara dibawah kepimpinan yang mantap, berinovasi serta berwawasan yang boleh disaksikan menerusi pembangunan, kecermerlangan dan kemakmuran yang dikecapi secara berterusan.

Angka 57 yang diberikan sentuhan retro, menjadi refleksi kepada tarikh keramat kemerdekaan negara pada tahun 1957, mencerminkan impian dan harapan serta semangat cintakan negara yang tidak berbelah bagi rakyat terdahulu, semoga menjadi pedoman dan panduan kepada generasi Malaysia hari ini terutama golongan muda.

Kibaran Jalur Gemilang menyelimuti angka 57 turut mencerminkan kemakmuran dan keamanan negara yang telah wujud sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, berupaya dikekalkan sehingga ke saat ini dengan sokongan dan dukungan kuat oleh rakyat berbilang etnik dan kepercayaan yang bergabung menjadi satu masyarakat Malaysia yang unik dan bertoleransi.

Bulan sabit dan bintang berbucu 14 melambangkan kedaulatan negara, menjadi kewajipan setiap pemimpin dan rakyat untuk terus memelihara dan mengekalkannya.

Tema 'Malaysia.... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' diletakkan pada sudut bersesuaian dengan rekabentuk logo bagi menyokong kekuatannya dari segi imbangan, maksud dan nilai estetika.

MAKSUD WARNA LOGO

Warna Merah-Lambang keberanian dan kesetiaan pada negara yang tercinta.

Warna Biru-Lambang penyatuan dan keharmonian antara kaum.

Warna kuning- Lambang kedaulatan negara dibawah naungan Raja Berpelembagaan dan diterajui kepimpinan yang prihatin dengan pencapaian negara serta keperluan rakyat.

Warna putih-Menjadi perlambangan kepada kejujuran, ketelusan dan komitmen serta kerjasama yang erat di antara pemimpin dan rakyat.

Tuesday, April 22, 2014

TEMA HARI GURU 2014

Tema Sambutan Hari Guru Kali ke 43 Tahun 2014 ialah Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi. Pemberitahuan Tema Hari Guru 2014 serta Maksud dan Huraian ini merujuk surat Datuk Dr. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang bertarikh 08 April 2014. Pemilihan tema ini telah dipersetujui oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Semoga makluman ini dapat dikongsikan kepada semua warga pendidik di Malaysia. Untuk makluman, Logo Hari Guru 2014 akan dikemaskini.

Apakah Maksud Tema Hari Guru 2014

Merujuk Surat Pemberitahuan KPM. Maksud, Definisi dan Huraian Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi iaitu Tema Hari Guru tahun ini ialah seperti berikut

DEFINISI: GURU PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVAS

  • GURU: Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara.
  • PENCETUS: Merujuk maksud peranan untuk menimbulkan sesuatu ilham/idea atau mengeluarkan sesuatu seperti ilmu. Guru bertindak sebagai pencetus idea kepada kreativiti dalam usaha melahirkan generasi intelek.
  • KREATIVITI: Didefinisikan sebagai penghasilan idea, kebolehan untuk mencipta atau proses pemikiran yang mendorong dalam pencetusan idea baru dan berdaya kreatif.
  • PENJANA: Merujuk maksud guru sebagai penggerak atau perantara yang paling penting dalam proses transformasi ke arah keberhasilan.
  • INOVASI: Didefinisikan sebagai pengaplikasian kreativiti, pembaharuan, modifikasi, kaedah dan sistem bagi mencari jalan untuk menghasilkan produk baru dan perkhidmatan yang lebih baik, bermakna dan bernilai.

Huraian Tema Hari Guru 2014

Tema Hari guru Tahun 2014 dicadangkan iaitu Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovatif adalah selaras dengan transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke-21 iaitu berfikiran kritis dan kreatif serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya agar menjadi generasi gemilang iaitu berpengetahuan dan berkemahiran, pemikiran kritis, kreatif dan inovatif; kemahiran memimpin, memiliki sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional. Hal ini sangat relevan dalam PPPM yang terus mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk pendidikan seimbang sebagai asas aspirasi setiap murid.
Guru memainkan peranan penting sebagai penggerak agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai keterampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada murid bagi membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu untuk mencipta ilmu yang baharu bertaraf dunia.
Membudayakan inovasi merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam persekitaran yang kompetitif secara global. Keupayaan warga pendidik menyediakan peluang kepada murid bagi mendapat pengalaman pembelajaran lebih bermakna, pengalaman pembelajaran dalam menyelesaikan masalah, kreativiti dan pemikiran kritikal dilihat mampu meningkatkan kemahiran murid yang dapat berfikir secara kritis dalam konteks akademik dan persekitaran kehidupan sebenar.
Dunia dan ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berfikir dengan lebih kritis dan kreatif dan inovatif. Justeru peranan guru sebagai penggerak generasi yang intelek dan berdaya saing perlu menghasilkan kualiti pengajaran yang gemilang dengan memperkukuh am alan terbaik dalam pendidikan.